Arabic Chinese Indonesian Korean Vietnamese
Peluang Pembelajaran Di IPTS Malaysia
Program Pengajian Tinggi Berkualiti dengan Pelbagai Pilihan

Pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia kini mempunyai pilihan yang luas terhadap pelbagai kursus pengajian serta jenis institusi, mengikut kehendak individu dengan kos pengajian yang mampu dibiayai. Di samping itu, melalui praktis budaya terkini, beberapa buah kampus cawangan telah didirikan di Malaysia oleh universiti-universiti terkemuka dari United Kingdom dan Australia serta pelbagai universiti dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis, Jerman dan New Zealand pula bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia untuk menawarkan program berkembar, program kerjasama dan program ijazah jarak jauh. Univerisiti swasta tempatan juga menawarkan program ijazah yang berkualiti dan kos elektif sebagai pilihan tambahan kepada para pelajar.

Sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini, program-program yang ditawarkan oleh IPTS di Malaysia memang berkualiti tinggi. Pengendalian program pengajian oleh IPTS adalah berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1996 dan Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996. Bahasa Inggeris , yang merupakan ‘lingua franca’ digunakan sebagai bahasa pengantar dan ini merupakan satu kelebihan bagi mereka yang mengejar kecemerlangan dalam kerjaya.

Jenis-jenis Institusi Pengajian Tinggi Swasta
  • Bukan Bertaraf Universiti
    -Kolej Swasta
    -Institusi Swasta

  • Bertaraf Universiti
    -Universiti Swasta
    -Kolej Universiti Swasta
    -Kampus Cawangan Universiti Luar Negara
Jenis-Jenis Kelayakan
  • Kolej Swasta
    -Menganugerahkan kelayakan sijil dan diploma dalaman
    -Menjalankan program kerjasama di peringkat ijazah sarjana muda dengan universiti luar negara
    -Menyediakan para pelajar untuk menduduki peperikasaan luaran profesional atau semi-profesional

  • Universiti dan Kolej Universiti Swasta
    -Menganugerahkan kelayakan ijazah sarjana muda dalaman

  • Kampus Cawangan Universiti Luar Negara
    -Menganugerahkan kelayakan ijazah sarjana muda yang seiras dengan kelayakan oleh universiti induk luar negara

Jenis-jenis Program Pengajian Tinggi
  • Kolej Swasta
    (A) Penganugerahan Kelayakan Diploma Dalaman
    Sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa, pelajar boleh mendapat kelayakan dari program pengajian yang ditawarkan oleh kolej swasta yang diiktiraf oleh kebanyakan universiti tempatan dan luar negara untuk memasuki tahun kedua program ijazah pertama.

    (B) Menyediakan Pelajar Untuk Peperiksaan Luaran Profesional
    Kolej swasta mengadakan kelas dengan bantuan tutorial bagi menyediakan pelajar untuk peperiksaan luaran yang ditetapkan oleh lembaga peperiksaan tempatan atau luar negara di mana pelajar akan dianugerahkan kelayakan profesional setelah berjaya.
    Antara kelayakan-kelayakan tersebut adalah seperti berikut:
    -Badan profesional (MICPA, MIA, ACCA-UK,IEM, Legal Profession Quality Board Malaysia)
    -Badan semi-profesional (IBBM, LCCIEB-UK, NCC-UK)
    -Program akademik luaran di peringkat menengah lanjutan (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, GCE `A’ Level-UK)
    -Program Bahasa Inggeris Luaran (University of Cambridge Local Examination Syndicate)

    (C) Program Ijazah Sarjana Muda dari Universiti-universiti di UK, US, Australia, New Zealand, Kanada, Jerman dan Perancis
    Para pelajar boleh melanjutkan program ijazah sarjana muda mereka di kolej swasta yang mempunyai hubungan kerjasama pendidikan dengan universiti induk luar negara. Mereka boleh memilih sama ada untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti tempatan atau universiti luar negara yang menawarkan program berkenaan. Program kerjasama yang dijalankan oleh kolej swasta dengan universiti induk yang menganugerahkan kelayakan ijazah adalah Program Ijazah Pembahagian (Split Degree) atau Program Ijazah Keseluruhan (Entire Degree) (3+0)

    (i). Program Ijazah Pembahagian
    Program Berkembar (Twinning Programme) membolehkan pelajar menghabiskan sebahagian programnya di kolej swasta tempatan dan selebihnya di universiti induk luar negara (foreign partner university) yang dipersetujui bersama, di mana universiti tersebut akan menganugerahkan ijazahnya.

    Program Pemindahan Kredit (Credit Transfer Programme) bermaksud kolej swasta mempunyai persetujuan akademik dengan universiti induk luar negara yang membolehkan pelajar melengkapi sejumlah beban jam kredit subjek yang diperakui di kolej swasta tempatan dipindah kredit ke universiti tersebut. Sistem yang fleksibel ini memang popular di kalangan universiti Amerika Syarikat.

    Program Pengiktirafan Luar (Advanced Standing Programme) bermaksud program diploma dalaman sesebuah kolej swasta diperakui dengan status “Advanced Standing” oleh sekumpulan universiti-universiti luar negara di mana pelajar-pelajar boleh terus memasuki tahun kedua atau ketiga program ijazah universiti tersebut di luar negara. Jadi, melalui jenis program ini, para pelajar yang telah dianugerahkan kelayakan diploma oleh kolej swasta di Malaysia boleh meneruskan tahun kedua atau ketiga program ijazah di universiti induk luar negara yang kemudiannya akan menganugerahkan kelayakan ijazah kepada pelajar selepas tamat pengajiannya.

    (ii). Program Ijazah Keseluruhan
    Program berikut membolehkan keseluruhan program ijazah sarjana muda dijalankan di kolej swasta di Malaysia:
    -Program Kerjasama Ijazah Luar Negara ‘3+0’
    -Program Ijazah Luaran
    Program Kerjasama Ijazah Luar Negara ‘3+0’
    Di bawah program ini, kolej swasta dibenarkan oleh universiti rakan kongsi luar negara untuk menjalankan keseluruhan program ijazah di Malaysia bagi pihak universiti tersebut yang kemudiannya akan menganugerahkan kelayakan ijazah kepada pelajar.

    Program Ijazah Luaran
    Pelajar mendaftar untuk program Ijazah luaran melalui kolej swasta yang berfungsi sebagai pusat tutorial bagi menyediakan pelajar untuk menduduki peperiksaan akhir. Ijazah yang diperolehi adalah sama dengan ijazah pelajar yang menuntut di universiti induk luar negara berkenaan.

    D. Program Ijazah Sarjana dan Lanjutan
    Melalui kerjasama dengan universiti luar negara, kolej swasta di Malaysia menawarkan program ijazah sarjana dan lanjutan yang luas dengan kos pengajian yang cukup rendah di samping memperolehi pendidikan bertaraf dunia.Yuran pengajian adalah amat kompetitif antara RM24,000 (US$6,300) dan RM34,000 (US$9,000).


  • Universiti Swasta dan Kampus Cawangan Universiti Luar Negara
    Para pelajar boleh memilih sama ada belajar sepenuh atau separuh masa di peringkat ijazah sarjana muda dan lanjutan bagi memperolehi kelayakan ijazah yang akan dianugerahkan oleh universiti-universiti tersebut. Yuran pengajian yang rendah dan kelayakan yang diiktiraf dunia menjadikan kampus cawangan satu tarikan kepada pelajarpelajar tempatan dan antarabangsa. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan termasuk kursus pentadbiran dan perniagaan, kejuruteraan dan kemahiran teknikal, perubatan, perkhidmatan, komputer dan ICT, bahasa dan lain-lain lagi.



Mengenai Kami | Pekerjaan | Beriklan Dengan Kami | Bilik Akhbar | Dasar Privasi | Syarat Penggunaan | Penafian | Peta Laman